Tumbuh kemboja di tepian paya,
Dipetik oleh anak Pak Harun,
Manisnya dara berbaju kebaya,
Warisan zaman,turun temurun.
Baju Kebaya ialah pakaian tradisional yang dikenakan oleh wanita Malaysia dan Indonesia. Ia diperbuat daripada kain kasa yang dipasangkan dengan sarung,batik, atau pakaian tradisional yang lain seperti songket dengan motif warna-warni.
Dipercayai kebaya berasal daripada negara Arab. Orang Arab membawa baju kebaya (yang Arabnya "abaya") ke Nusantara ratusan tahun yang lalu. Lalu tersebar ke Melaka,Jawa,Bali,Sumatera dan Sulawesi. Setelah berlakunya asimilasi budaya yang berlangsung selama ratusan tahun, pakaian itu diterima oleh penduduk setempat.
Sebelum tahun 1600 di Pulau Jawa kebaya adalah pakaian yang hanya dikenakan oleh golongan keluarga kerajaan di sana. Selama zaman penjajahan Belanda di Pulau ini, wanita-wanita Eropah mula mengenakan kebaya sebagai pakaian rasmi. Saban hari, kebaya diubah dari hanya menggunakan barang tenunan mori menggunakan sutera dengan sulaman warna-warni.
Pakaian yang mirip yang disebut "nyonya kebaya" diciptakan pertama kali oleh orang-orang Peranakan daripada Melaka. Mereka mengenakannya dengan sarung dan kasut cantik bermanik-manik yang disebut "kasut manek". Kini, nyonya kebaya sedang mengalami pembaharuan, dan juga terkenal dalam kalangan wanita bukan asia.
Terpisah daripada kebaya tradisional, ahli fesyen sedang mencari cara untuk memodifikasi "design" dan membuat kebaya menjadi pakaian yang lebih moden. Kebaya yang dimodifikasi boleh dikenakan dengan seluar jeans.
Pada era modenisasi ini,kebaya menjadi suatu trend berfesyen yang cukup unik terutamanya dalam kalangan wanita Melayu untuk dipakai ke majlis-majlis rasmi ataupun ke tempat kerja.
KEBAYA NYONYA KEKAL UNIK DALAM MASYARAKAT DI MALAYSIA.
Marcapada,kebaya yang sering menjadi tumpuan kerana keunikannya yang tersendiri adalah kebaya nyonya yang dipakai sejak turun-temurun.Potongannya yang pendek dihiasi dengan pelbagai corak bunga kerawang menyerlahkan keunikan pakaian tradisi baju kebaya Nyonya apa lagi dipakai si gadis manis.
Apabila dipadankan dengan kain batik sarung, kerongsang, kasut dan beg manik membuatkan mana-mana gadis yang memakainya tampak anggun dan pastinya semakin mencuri perhatian sesiapa yang memandang.
Inilah ciri-ciri tradisional baju kebaya bagi kaum Baba dan Nyonya di Melaka yang masih utuh dan tidak ditelan zaman.
Kebaya Nyonya berasal daripada baju cheongsam labuh kaum Cina dipotong pendek sehingga paras punggung dan dipakai oleh kaum Baba dan Nyonya sebagai baju harian mereka.
Begitupun, hanya mereka yang berusia 30 tahun ke atas sahaja yang memakai kebaya ini kerana sudah sedemikian adatnya selain penghormatan kepada mereka yang sudah berusia.
Di sinilah terciptanya nama kebaya Nyonya yang kini dipakai oleh semua lapisan masyarakat tidak kira kaum mahupun usia kerana keunikannya yang tersendiri.
Malah ia menjadi kebanggaan kepada si pemakai kerana mempunyai nilai yang tersendiri selain harganya yang agak mahal bersesuaian dengan kualiti dan kerawang yang disulam.
Pakar menjahit sulaman baju kebaya Nyonya, Sherman Sahar, 52 , berkata, harga sehelai kebaya Nyonya terletak pada kualiti kain yang digunakan kerana sekiranya kain tidak berkualiti ia akan mudah koyak jika dijahit sulaman di atasnya.
Pernah juga sulaman yang dibuat tersilap corak lalu mencacatkan penampilan kain yang hendak dijadikan kebaya.
Walaupun hampir siap, sulaman harus dibuka semula untuk dijahit kembali dan keadaan ini amat rumit dan memakan masa.
''Orang dulu lebih suka menggunakan kain satin ataupun kain kapas kerana fabriknya lebih tebal daripada kain-kain biasa lagipun ia menyerap peluh," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sherman adalah antara pereka baju kebaya Nyonya dan memiliki sebuah kedai, Toko Che Ros yang terletak di Dataran Pahlawan.
Katanya, pelanggan zaman kini lebih suka menggunakan kain nipis dan jarang seperti kain kasa rubiah kerana lebih berkualiti mengikut harganya.
Manakala bagi sulaman pula katanya, ia akan lebih tinggi harganya sekiranya dijahit tangan berbanding menggunakan mesin kerana lebih halus dan sempurna jahitannya.
''Menjahit sulaman memerlukan ketelitian rapi supaya jahitan lebih kemas walaupun memakan masa yang agak lama tetapi paling penting seni tradisinya dapat dikekalkan keunikannya,'' kata Sherman.
Beliau berkata, terdapat empat teknik digunakan untuk membuat kerawang iaitu teknik cucuk api, cucuk elektrik, cucuk besi dan teknik sulaman goyang asli yang paling mendapat sambutan.
''Sulaman goyang asli sangat mahal harganya kerana sulaman di bahagian dalam kebaya sama coraknya dengan sulaman di bahagian luar membolehkan kedua-dua belah kain yang disulam itu digunakan," katanya.
Beliau yang menerima tempahan sulaman goyang asli, memerlukan masa lebih kurang satu tahun untuk menyiapkannya kerana ia memerlukan penelitian yang amat mendalam selain perlu berhati-hati kerana kain yang dihantar oleh pelanggan biasanya sangat mahal.
Sekiranya melihat rekaan sulaman di kedainya, kebanyakan berunsur flora dan fauna selain binatang seperti burung dan ikan emas.
Ia memerlukan masa satu hari sahaja untuk mencipta rekaan sulaman yang baru di mana kebanyakan rekaannya diilhamkan daripada kawasan sekitar rumahnya.
Ujarnya, selain kain dan sulaman, pilihan kombinasi warna benang juga sangat penting untuk dipadankan dengan warna kain kerana jika tersilap warna, rekaan sulaman tersebut tidak timbul dan kelam selain warnanya yang nampak serabut.
Sherman berkata, setiap wanita yang ingin memakai kebaya Nyonya perlu pandai memilih warna dan sulaman yang bersesuai dengan tubuh mereka kerana jika tersilap pilih, ia akan mencacatkan penampilan.
''Bagi mereka yang memiliki tubuh badan yang gemuk, mereka perlu memilih warna seperti merah cili, oren lemak ketam dan krim supaya nampak kurus dan bagi yang gemarkan warna hitam, mereka perlu memilih kerawang yang berwarna dan bukan warna hitam semata supaya lebih menarik perhatian.
''Mereka yang bertubuh kurus pula jangan memilih warna hitam kerana ia akan nampak lebih kurus dan perlu memilih warna yang lebih cerah seperti warna merah, oren dan kuning,'' katanya.
Selain warna baju, kain batik sarung yang dipadankan juga harus bersesuai dengan tubuh si pemakai.
''Jika kebaya Nyonya berwarna hitam dan oren, mereka perlu memilih kain batik sarung berwarna oren supaya penampilan mereka lebih terserlah dan nampak tinggi,'' katanya lagi.
Manakala warna coklat tidak sesuai untuk para remaja kerana tidak menyerlahkan penampilan mereka dan ia hanya sesuai untuk mereka yang berumur 40 tahun ke atas.
Pemakaian kebaya Nyonya ini juga akan lebih berseri jika dikenakan dengan kerongsang berantai dan tali pinggang besi yang bercirikan pemakaian tradisonal.
Kain batik sarung juga tidak digalakkan untuk dijahit kerana tidak nampak cantik dan mereka yang memakainya perlu mengikatnya menggunakan tali pinggang besi agar lebih kemas.
Sherman berkata, dia mula meminati seni menjahit sulaman sewaktu zaman remajanya apabila diajar oleh datuknya.
''Ketika saya berusia 14 tahun, saya diajar teknik menjahit sulaman daripada nenek yang ketika itu menerima tempahan menjahit baju dan menyulam,'' katanya.
Beliau berkata, harga untuk sepasang kebaya Nyonya kini mencecah ribuan ringgit bergantung kepada kualiti kain dan bentuk sulaman berbanding di zaman dahulu sekitar RM30 hingga RM40.
Kehebatan Sherman dengan baju kebaya Nyonya mendapat perhatian apabila dipilih untuk mempamerkan fesyen itu di beberapa pertunjukkan.
Hasil kerja tangannya, dia pernah mendapat penghormatan mempamerkan kebaya Nyonya di Korea Selatan pada 2005.
Gambar di atas menunjukkan pemakaian baju kebaya Nyonya oleh saya sendiri sewaktu mengendalikan pertandingan kebudayaan di Universiti Malaya.Motif utama saya memilih pemakaian kebaya ini adalah kerana bersesuaian dengan majlis yang dikendalikan serta nampak sopan,saya juga ingin menerapkan pemakaian baju kebaya ini dalam kalangan masyarakat hari ini.
Gambar di bawah pula ialah contoh lain baju kebaya nyonya yang sering digayakan oleh masyarakat hari ini.
No comments:
Post a Comment